Kam. Mei 13th, 2021

IKUTLAH

IKUTLAH

Hati kian parah
dalam luka bernanah
namun tewas tidak kuserah
andai gagal sekalipun tetap ditongkah
sekurangnya aku mencuba
gagal itu perkara biasa.

Tumbuh ini bagimu berputik dusta
kau seperti kasyaf
telus melihat hati manusia
sejahil aku tidaklah dungu
katakanlah apa yang kaumahu
sikit takkan bimbang
banyak sekalipun aku tak tumbang.

Aku tak harap bunga menjadi cinta
apa lagi seiring di sisi
tapi tidak salah aku lukis bahagia
kerana aku masih manusia
kalau itupun hendak dinafi
aku berdiam saja
lemas berbalah bicara.

Aku lelah menerangkan aku
fahammu tak serupa arti di dadaku
bila aku kaulihat mirip keladi
aduh aku terlupa
kau sebenarnya malaikat
tidak punya cinta mahupun rindu
sujudlah kamu tanpa bergerak
jangan diinjak lewat batas sejadah.

Kutuklah aku seberat-beratnya
andai itu menenangkan jiwa
moga esok mulutmu tidak bisu
secara tiba-tiba.

TONGKAT SAKTI
Belantara Konkrit
Semenanjung Tanah Melayu
24 Jun 2018

Tinggalkan Balasan

%d blogger menyukai ini: